Sunday, December 13, 2009

Khalid: Titah Sultan Inspirasi Kerajaan Negeri

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pemimpin kerajaan negeri menumpukan agenda pembangunan memakmurkan negeri.

Beliau berkata titah Sultan itu bakal menjadi inspirasi kepada kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan urustadbirnya untuk berusaha dengan lebih gigih.

Khalid turut menyifatkan titah berkenaan sebagai pandangan ikhlas Sultan bagi memakmurkan rakyat di bawah naungannya.

“Tuanku Sultan mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan mesti mempunyai kerjasama pada pemerintah yang ada sekarang. Ia satu pandangan Sultan bukanya untuk menunjukkan perbezaan Sultan dengan Menteri Besar.

“Bukan tahun ini sahaja, saya dapati titah Tuanku sejak tahun 2003. Tuanku sebagai raja di Selangor sentiasa mengingatkan Menteri Besar, pegawai-pegawai kerajaan dan pihak swasta supaya berusaha membangunkan Selangor, lebih banyak membuat kerja dan kurang berpolitik,” katanya.

Semalam Sultan Sharafuddin bertitah supaya pemimpin kerajaan negeri menumpukan agenda pembangunan memakmurkan negeri berbanding pergolakan politik yang melanda muktahir ini.

Tuanku turut mengingatkan sebarang permasalahan tidak diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan rakyat.

Khalid berkata, kerajaan negeri sentiasa mentaati titah Sultan terutamanya dalam mengagih kekayaan negeri yang direalisasikan melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Tujuan Sultan supaya kita dapat bersama-sama di bawah naungan Tunku dapat menghasilkan pembangunan terbaik buat rakyat. Ucapan Tuanku selari dengan ucapan Menteri Besar,"katanya.

No comments:

Post a Comment