Tuesday, December 15, 2009

Bangunan Sultan Suleiman Diisyitihar Sebagai Warisan Kebangsaan

Bangunan Sultan Suleiman di Klang hari ini menjadi bangunan warisan sejarah pertama di Selangor selepas diisytihar sebagai warisan kebangsaan.

Majlis pengisytiharaan tersebut telah disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di perkarangan Bangunan Sultan Suleiman pagi tadi.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Saei Kie berkata Bangunan Sultan Suleiman adalah permata kesenian Tanah Melayu, memaparkan sentuhan neo-klasik yang dipadankan pada nilai praktikal melalui struktur dan fasadnya yang begitu menyerlah.

Heng berkata demikin ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Bangunan Sultan Suleiman di, Klang hari ini.

“Kriteria warisan tersebut menjadi semakin penting apabila digandingkan dengan memori sejarah kegunaan bangunan ini. Kepentingannya sebagai bangunan pentadbiran telah dapat dibuktikan, maka sewajarlah bangunan ini merupakan kebanggaan yang harus dilindungi, dipelihara dan dipulihara”,katanya.

Hadir sama Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Ibni Armahum Sultan Salahuddin Shah Alhaj, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara dan Datin Paduka Profesor Emeritus Zuraina Majid.

Bangunan yang kini berusia 100 tahun ini telah dibina pada tahun 1909 semasa pemerintahan Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah yang memerintah dari tahun 1898.

Pernah dijadikan rumah rehat hingga tahun 1948, bangunan yang penuh sejarah ini pernah berfungsi sebagai Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Syariah Daerah Klang serta Cawangan Majlis Perbandaran Klang.

Ia juga pernah dijadikan Markas Pemerintah Tentera Jepun pada 1941.

Kini bangunan yang terletak di Klang ini telah bertukar fungsi dan dijadikan sebagai Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bagi mengabadikan kemasyuran Institusi Diraja Selangor.

Sementara itu,Profesor Zuraina pula berkata sehingga ini, sebanyak 21 warisan sejarah di Selangor sedang dalam proses diisytihar sebagai warisan.

“Untuk status warisan sebanyak 21 bangunan di negeri Selangor adalah dalam proses penwartaan,untuk status kebangsaan pula Bangunan Sultan Suleiman adalah yang pertama diiktiraf di negeri Selangor daripada 26 buah bangunan warisan kebangsaan diseluruh Malaysia",katanya.

Dalam ucapannya, Zuraina turut mengalu-alukan pencalonan daripada semua pihak sama ada daripada kerajaan negeri, swasta atau badan bukan kerajaan serta mana-mana individu untuk sama-sama menambahkan senarai warisan dalam Daftar Warisan Kebangsaan.

Katanya cadangan pencalonan boleh dibuat dengan mengisi borang terkandung di laman sesawang Jabatan Warisan Negara.


No comments:

Post a Comment